Hari Pertama Adik…

Semalam merupakan hari pertama persekolahan formal adikku Azri yang bongsu. Dia begitu girang sekali. Aku yang menghantarnya ke sekolah bersama-sama mak. Abang-abangnya yang lagi dua, awal-awal lagi sudah pergi menaiki van seperti biasa. Mak pula agak lewat dan adik pula sudah lama menunggu. Hatinya berkobar-kobar sehingga dia mencadangkan kepada aku, “Kaklong! Jomlah kita pergi dulu, kita tinggalkan mak, lambatlah nanti,” sambil tersengih-sengih, menampakkan giginya yang rongak. Aku tahu dia hanya bergurau. Adikku yang seorang itu, memang percakapannya tidak padan dengan umurnya yang masih belum pun 7 tahun. Hebat memutar belitkan kata berbanding Safuan yang lurus walaupun jarak umur mereka hanyalah setahun. Safuan sering menjadi buliannya dan yang peliknya pula, abangnya seolah-olah tidak kisah malah menurut saja kata si kecil.

Tatkala tiba di sekolah, kereta begitu banyak, aku terpaksa menurunkan Azri dan mak dahulu sementara aku mencari tempat untuk meletakkan kereta. Nasib baik ada ruang betul-betul di hadapan sekolah. Tidaklah jauh aku hendak berjalan. Sesampai di perkarangan SK Taman Tun Dr Ismail(1), pelajar-pelajar sudahpun berkumpul di dewan dan aku tidak nampak bayang mak. Aku menunggu di luar dewan, sambil memerhati keadaan sekolah yang pernah aku lewati suatu ketika dahulu. Malah, ada guru yang masih aku mampu cam. Tergerak hati mahu menegur tapi mereka begitu sibuk bercakap-cakap dengan ibubapa yang lain. Apabila murid-murid dikehendaki menyanyikan lagu sekolah, aku terkejut kerana aku masih mampu mengingati bait-bait dari lagu tersebut walaupun sudah hampir 8 tahun masa berlalu.

Ketika murid-murid Darjah 2 hingga 5 meninggalkan dewan ke kelas masing-masing dan meninggalkan pelajar-pelajar Tahun 1 sahaja, aku menuju ke dewan dan turut serta bersama-sama mak. Kelihatan beberapa barisan kanak-kanak yang begitu comel dan tidak keruan berbaris mengikut kelas masing-masing. Ada yang menangis, ada yang begitu relax, macam-macamlah! Kelakar pun ada, kesian pun ada. Maklumlah, hari pertama, kawan pun tak ada namun transisi seperti itu tidak mungkin akan tersisih dari setiap manusia. Itu lumrah hidup.

Akibat terlalu lama berdiri, belakangku mula sakit-sakit balik. Kesan jatuh dulu mungkin masih berkesan sampai sekarang. Ia datang dan pergi bila-bila masa ia suka. Aku membiarkan mak membayar apa-apa yang patut dan aku pergi ke kelas adikku untuk mengambil beberapa keping gambar sebelum aku merehatkan diri di balai ilmu. Dalam menunggu itu, ada suatu pasangan muda yang sibuk mengisi borang untuk anak mereka. Tiba-tiba, seorang daripada rakan mereka tiba. Mula-mula si suami berkata, “Kami kena halau!” Rakan yang bingung itu bertanya kenapa. Lalu si isteri mengadu, “Kau tahu tak, anak aku suruh aku balik!” Rakannya gelak, aku pun hendak tergelak sama. Masih ada kanak-kanak sekecil itu yang malu dengan kedatangan ibubapa. Terutama jenis yang suka terjenguk-jenguk di tingkap kelas dan bertanyakan keadaan anak masing-masing. Sungguh! Begitu ramai ibubapa yang begitu walaupun aku tidak menyalahkan mereka. Koridor sesak tidak tentu pasal. Tidak cukup dengan kerenah anak-anak, kerenah ibubapa pula. Haiii… macam-macam!

Tak lama selepas itu, mak pun datang semula dan kami berdua ke kantin sambil menunggu waktu rehat adik-adik aku. Mak ajar yang kecil bagaimana untuk membeli makanan. Safuan pula sudah melahap dua mangkuk laksa. Begitu berselera sekali. Hebat betul adikku yang seorang tu, padanlah balik rumah tidak mahu makan tengah hari lagi! Tapi badannya tidak juga naik-naik! Kami pesan kepada mereka supaya tunggu Acik(adikku Arif yang menuntut dalam Darjah 6) di kantin sewaktu hendak balik nanti dan pulang sama-sama. Mak tak mahu membiasakan adik sedari hari pertama agar berambil. Biar dia betah menaiki van dengan abang-abangnya.

Aku dan mak pulang ke rumah selepas itu, sebelum keluar semula untuk makan tengah hari. Abah hantar Izzat ke kolej. Dia juga memulakan hari pertama untuk sesi seterusnya semalam. Semua orang begitu sibuk. Nasib baik kelas aku pukul 6 petang. Bolehlah hantar mak dan Azri. Abah pun cuti.

Semua hendak menjadi sebahagian daripada 5 Januari 2004…

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s